 

Segala pujian bagi Allah, tuhan yang mencipta dan mentadbir sekalian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat Baginda.
Saya bersyukur ke hadrat Illahi kerana diberikan kesempatan untuk memberi sepatah kata dalam ruangan ini. Sekolah Rendah Integrasi Masjid darul Ehsan telah ditubuhkan pada tahun 1998 berdekatan Masjid Darul Ehsan Subang Jaya. Pada masa itu, ia hanya mempunyai 50 orang murid yang ditempatkan di dalam dua bilik darjah. Kini jumlah murid dianggarkan 400 orang yang belajar di 16 buah bilik darjah di bangunan blok C.
Sekolah ini adalah sekolah persendirian yang diuruskan sepenuhnya oleh Yayasan SAMDE (594389-A). Kami melaksanakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR ), Kurikulum Sekolah Agama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan hafazan al-Quran sistem al-Huffaz. Dengan berkat usaha dan inayah dari Allah, maka sekolah ini telah berjaya menjadi Pusat Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ) sejak tahun 2005. Anugerah dari Allah ini turut dinikmati oleh sekolah-sekolah Islam persendirian dalam daerah Petaling Jaya. Matlamat penubuhan sekolah ini adalah untuk menyediakan alternatif kepada ibu bapa yang ingin anak-anak mereka bukan sahaja mempelajari ilmu akademik, tetapi diniyyah dan hafazan al-Quran. Bahkan, kami berhasrat menjadikan sekolah ini sebagai pusat keilmuan Islam di Subang Jaya di mana faedahnya dapat dinikmati bukan sahaja oleh anak-anak tetapi juga oleh ibu bapa murid khasnya dan semua umat Islam amnya. Untuk tujuan tersebut, pihak sekolah telah melaksanakan beberapa program yang melibatkan ibu bapa seperti program solat hajat , qiamulail dan kuliah tafaqquh fiddin sebanyak dua kali dalam sebulan. Disamping itu, pihak sekolah juga aktif dalam melaksanakan program kebajikan seperti lawatan dan bantuan kepada Rumah Anak-Anak Yatim & Miskin dan juga ibu tunggal.
Kami sedar bahawa tugas sebagai khalifah Allah bukan satu tugas ringan, tetapi ia memerlukan jihad dan pengorbanan yang berterusan khususnya dari segi tarbiyah dan dakwah. Justeru itu, kami melaksnakan metodologi pendidikan 5A iaitu Asuh, Aqidah, Amal, Akhlak & Akademik . Berdasarkan metodologi tersebut, murid-murid diAsuh oleh guru-guru yang berjiwa murabbi Natijah dari perlaksanaan konsep itu ialah akan lahirnya generasi Ulul al-Bab yang mampu menjalani kehidupan di dunia sebagai hamba Allah yang berpaksikan Aqidah yang benar, Amalan yang sahih, berAkhlak mulia di samping cemerlang dalam bidang Akademik.
Jiwa anak adalah ibarat kain putih yang bersih, maka kitalah yang ditaklifkan oleh Allah agar mencorakkan jiwa anak kita dengan ilmu dan amal yang berlandaskan wahyu Illahi dan wasiat Rasulullah s.a.w. Kejayaan anak kita dalam bidang akademik memang perlu. Namun kejayaan akademik semata-mata tidak menjamin keselamatan dirinya dan ahli keluarganya di akhirat kelak. Oleh yang demikian, ilmu agama bukan sahaja untuk dipelajari, tetapi untuk dihayati dan diamalkan dalam kehidupan kita seharian. In sya Allah, jika setiap ibu bapa memantau dan menasihati anak-anak di rumah agar berakhlak mulia dan menegur murid-murid yang lain, maka suasana hidup Islam akan wujud di sekeliling kita.
Sekolah kami tidak mungkin mampu bertahan hingga saat ini tanpa sokongan ibu bapa yang istiqamah menghantar anak mereka belajar di SRIMDE dan para dermawan yang ikhlas membantu usaha pihak sekolah dari masa ke semasa. Kepada mereka, saya mewakili warga kerja SRIMDE merakamkan jutaan terima kasih. Didoakan semoga mereka dimurahkan rezeki oleh Allah dan mendapat keberkatan dalam hidup.
Sekian, terima kasih. Wassalam.
Ikhlas dari saya,

DAHIM BIN JALAL
Guru Besar
Sekolah Rendah Integrasi Masjid Darul Ehsan.



Terlebih dahulu saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya, dapat saya mencatat sepatah dua kata di dalam Laman Web sekolah ini.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada guru-guru dan semua pihak yang telah berjaya menghasilkan LAMAN WEB ini.
Yayasan SAMDE sebagai peneraju sekolah ini sentiasa memberi sepenuh perhatian hingga sekolah ia boleh berkembang seperti sekarang ini dan saya yakin ia akan terus maju pada masa hadapan. Beberapa perubahan yang dirancang telah dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi keperluan yang akan datang.
Sekolah ini dilengkapi dengan bangunan yang sesuai dan kemudahan mencukupi bagi melaksanakan dengan berkesan pelajaran yang disediakan terutama kerana berhampiran dengan Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya dan berada di lokasi yang strategik. Dan lagi sekolah menpunyai padang permainan, dewan dan surau serta bilangan bilik darjah yang mencukupi. Barisan tenaga pengajar adalah terdiri siswazah yang berpengalaman dari dalam dan luar negara.
Secara ringkas saya ingin menjelaskan bahawa Sekolah ini menyediakan kurikulum yang mengitegrasikan aspek kecemerlangan akademik disamping memberii fokus yang mencukupi untuk aspek diniyyah, sesuai dengan kurikulum yang dikehendaki kini. Kurikulum menengah ini juga adalah sealiran dengan kurikulum nasional (KBSM); manakala kurikulum diniyyah pula mirip kepada sukatan pelajaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memberi tumpuan kepada hafazan dan tilawah, serta hadis dan tafsir, dan mempraktikkan amali muslim. Ko-kurikulumnya meliputi olahraga, permainan, kelab dan persatuan. Ia juga memberi pendedahan tentang kebajikan sosial bagi memupuk nilai murni agar prihatin kepada masyarakat yang kurang berasib baik. Kurikulum sekolah ini pada amnya adalah sebagai persediaan awal ke arah melahirkan pelajar yang mempunyai jati diri muslim, prihatin terhadap masyarakat dan mampu menghadapi cabaran yang akan datang.
Laman web ini juga melambang daya usaha dan kesediaan sekolah ini untuk mengisi visi, misi dan objektif sekolah dalam menghadapi alaf baru ini.
Diharap laman web ini dapat memberi banyak manfaat kepada pelawat dan masyarakat untuk mengetahui dan mengenali sekolah ini secara lebih dekat lagi.
Selamat datang dan selamat sejahtera kepada semua pengunjung laman web sekolah ini.
Sekian, terima kasih dan wassalam.

(MAHAT BIN DAWI A.M.N .)
Pengetua, Sekolah Menengah Integrasi Masjid Darul Ehsan, Jalan SS 15/2E Subang Jaya, 47500 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.


Sekolah ini merupakan sebuah institusi pendidikan swasta yang telah ditubuhkan sejak tahun 1998, terletak di sebuah kawasan yang strategik di Subang Jaya, bersebelahan Masjid Darul Ehsan.
Pada awal penubuhan, sekolah ini diuruskan oleh Biro Pendidikan Masjid Darul Ehsan yang terdiri daripada ahli kariah masjid. Sejak 2003, pengurusan sekolah adalah di bawah Yayasan SAMDE (594389-A), sebuah badan yang ditubuhkan khusus untuk pengurusan dan kewangan sekolah. Ahli lembaga pengarah terdiri daripada ibubapa pelajar.
Matlamat utama sekolah adalah untuk memartabatkan dan menjulang institusi pendidikan Islam sebagai pilihan utama masyarakat untuk membentuk generasi Ulil-Albab.
Dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dan seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi, sekolah menerapkan methodologi pendidikan '5A' - ASUH, AKIDAH, AKHLAK, AMALAN & AKADEMIK.


- Mengasuh potensi pelajar dari segi intelektual, rohani, emosi dan jasmani sesuai dengan perkembangan pelajar dengan berteraskan syiar Islam.
- Membentuk generasi pelajar yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.
- Membimbing dan membentuk sahsiah pelajar melalui kaedah
'Projek Khalifah'.
- Melahirkan generasi pelajar yang menghayati nilai Islam ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang berdaya maju, harmonis, inovatif dan progresif.
- Mengasuh kemahiran komunikasi, sosial dan teknologi ICT.
Menyediakan sistem pendidikan yang komprehensif dan holistik dalam membentuk generasi pelajar yang cintakan ilmu, beriman dan berakhlak mulia demi mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat.
Menjadi institusi pendidikan terulung bagi melahirkan insan rabbani, intelek dan inovatif.

|